MALAY BAZZAR: Taring King Kong
________________________________________________________________________________
Wajahnya cemas dan gelisah.Perasaan seram menyelinap ke seluruh anggota.
Biarpun dia seorang yang tangkas dan ligat beberapa saat sebelumnya
namun kini dia terbelengu,tubuhnya dirasakan bagai dibungkus kerimasan.
Bunyi kercipan itu sungguh mengilukan,dan semakin hampir kecuping telinganya.
Bayangan taring raksaksa King Kong menghantui benaknya.Dia sangat pasti
sebentar lagi taring raksaksa itu akan menjamah tengkok lalu memamah hancur
tengkorak kepala.
Ah! Ini tidak boleh dibiarkan,dia mesti melawan.Bagaikan halilintar dia
meraung dan meronta.Si emak yang sedari tadi tenang duduk di bangku kayu
segera bingkas bangun,merapat dan memegang tubuh kecil Alim yang
meronta-ronta menaggis bagai dirasuk setan.Dari kedua lubang hidung Alim
cecair likat hijau timbul membentuk gelembong-gelembong bulat seperti
belon getah yang ditiup.Meletup,pecah kemudian timbul pula yang berikutnya.
suasana makin gawat, raungan makin kuat.Mak cik Nab tiada upaya mententeramkan
anaknya.Hari itu merupakan hari gagal yang kesepuluh ayah aku,rambut Alim
masih gagal beliau pangkas.Demi kesejateran suasana kedai gunting ayah aku
Alim digendong emaknya balik kerumah.
Ya kawan itu secebis dari sisa-sisa kenangan semasa kecil aku di Malay Bazzar,
Malay Bazzar merupakan rumah berek kedai binaan kayu yang terletak dalam
perlembahan yang memisahkan antara Jalan Besar dan Jalan Jelai.Di masa kini
tapak itu telah terdiri bangunan yang dinamakan Komplek Alamanda.
Malay Bazazar tempat peniaga-peniaga kecil melayu mencari nafkah.Selain daripada
ayah aku yang mengunting rambut di sini beberapa nama yang masih aku ingat
Antaranya ialah Ustaz Muluk ayah sahabat aku Shukri.Keluarga mereka dan keluarga
Pak cik Damuri ayah kepada seorang lagi kawan sebaya aku Iskan namanya menjalankan
perniagaan menjahit songkok di sini.
Ayah Alim yang takut bergunting itu tadi En.Din namanya.Beliau dan En.Mohd Kawi
merupakan penulis upahan menaip surat atau dikenali juga sebagai Petition writer.
Karisma Mohd Kawi yang aku lebih mesra memanggilnya Aki Kawi,selalu
mempersonakan aku biarpun ketika itu usia aku baru dalam lingkungan 5tahun.
Akan aku cuba memperincikan tentang tokoh ini pada kesempatan yang mendatang.
Selain dari mereka-mereka ini aku juga masih ingat kepada Pak Cik Zahari dan isterinya
Mak cik Saelah penjual cendol.Aduhai masih terasa melekat keenakan cendol
mereka di tekak aku.Tebaik di dunia!.Di zaman itu airbatu diparut halus dengan
menggunakan sagat tangan,tersangat manual,barangkali airtangan mereka itulah
perisa rahsia yang membuat aku tidak lupa akan cendol mereka hingga saat ini.
Selain dari nama rasminya Malay Bazzar ia juga dikenali dengan nama kedai Kelantan.
Ini kerana terdapat juga beberapa orang jiran kami terdiri dari orang Kelantan ,turut
berjualan di situ.Antara wajah-wajah yang aku sudah ingat-ingat lupa Pak Cik Zainal
penjual nasi dan Mak Cik Bedah perdagang budu dan bedak sejuk homemade.
Namun kawan sebilangan dari nama-nama itu telah berpindah.Berpindah ke alam
barzah,doa-doa kecil selalu aku titipkan buat mereka yang telah berpergian itu.
Oh sedikit lagi kisah Alim,rupa-rupanya di alam dewasa kehidupanya tuhan telah
menyuratkan beliau menjadi seorang wira yang handal,jaguh pelarik cinta yang
sangat ahli.Kalau statement aku ini ada yang menyanggah aku rela menjadi belon
belon hinggus yang meletup.Kelarai cinta rumah tangga beliau memang hebat
dua orang isterinya tinggal sebumbung,bantu-membantu dalam rukun.
Apakah itu tidak hebat kawan?.Bukan calang-calang!.Bagi aku itu kemapuan
tahap dewa asmara Yunani.Rakan aku itu benar-benar Velantino.
Bersambung